Sunday, June 10, 2012

Berniagalah Kalau Ingin Kaya

Sekadar Hiasan..

Hadis Nabi S.A.W ' 9/10 rezeki  adalah dalam perniagaan'.

BERNIAGALAH kalau ingin kaya!
Usahlah terlalu memikirkan kegagalan dan kerugian terlebih dahulu sebelum mencubanya. Maafkan jika mengatakan inilah pemikiran orang Melayu kita. Tersangat hebat memberi andaian dan kebarangkalian, akhirnya andaian itu menjerumus diri di dalam ketakutan. Berubahlah wahai minda bangsa-bangsaku!

Lihatlah di sekeliling kita, siapakah yang memegang ekonomi negara Malaysia ? Bagaimana pula keadaan orang Melayu ketika berniaga ? Kenapa pula sampai perlu berbomoh-bomoh ? tidak lari juga kata-kata, " Aku bukan tak nak berniaga, tapi aku kesianlah kacau mamat tu jual air. "
Alasan demi alasan yang di dengari. Percayalah, rezeki itu milik Allah S.W.T untuk setiap hamba-hambanya yang benar-benar berusaha.

Biarpun kegagalan yang di tempuhi di saat itu. Ianya bukanlah jalan mati untuk mencuba. Sebenarnya kegagalan yang di tempuhi itu, membawa kita berjuta pengalaman dan pengetahuan. Bahkan perlu di ingat, kejayaan yang dibina hasil daripada kegagalan lebih nikmat dan besar maknanya. Itulah kehidupan seorang hamba. Tidak semestinya kita sentiasa di atas. Kadang-kadang juga kita berada di bawah.

Berniaga perlukan keberaniaan. Sama ada berani untuk gagal atau berani untuk berjaya. Sewaktu berjaya kegagalan sentiasa mengintai dan sewaktu gagal kejayaan berada di sebelah. Turun dan naik adalah asam garam di dalam kehidupan. Maka cubalah mengintai-intai kekayaan itu.

Seawal umur 10tahun saya sudah mula berniaga!

Bukanlah mencari keuntungan semata-mata. Tetapi ianya di atas dasar hobi dan minat semata-mata.  Juga membina keyakinan dan kegemilangan diri. Sehinggalah masuk ke Sekolah Menengah, kalau sudah nama hobi dan minat. Ianya masih di teruskan lagi. Dengan membeli makanan ringan seperti Appolo, Keropok2, Kerepek2 dan dodol untuk di jual di asrama. Persoalannya untung sangat ke dengan menjual makanan-makanan ringan seperti itu ? Ini belum lagi kes hutang tidak bayar-bayar, kecurian dan macam-macam. Justeru itu, bukan keuntungan yang di cari, tetapi pemikiran mentah ketika itu hanyalah kepuasan apabila makanan yang di jual habis. Yeahhh berjaya jual!

Sehinggalah di Mesir, berniaga juga separuh daripada kehidupan diri walaupun bergelar Mahasiswa. Dengan mencuba pelbagai perniagaan seperti berniaga di Bazar ( seperti pasar lambak ), menguruskan kedai G-Mart, menjual tiket-tiket penerbangan, perkhidmatan basuh saratoga dan lain-lain lagi. Segala ruang dan peluang perniagaan cuba di ceburi. Dengan keberkatan berniaga itu jugaklah, saban tahun membawa diri ini pulang ke Tanah air. Inilah hakikatnya! Jika kita inginkan sesuatu kita perlu usaha tanpa perlu mengharap pada orang lain. Kerana tiada yang mustahil di dalam kehidupan. Selagi mana ianya halal dan tidak mengharamkan syariat.

Oleh itu, berniagalah kalau ingin kaya.  Bukan salah tidak berniaga sebab sudah ada kerja, yang salah tidak mahu berniaga kerana menyangka di situ tempat kecundang. Lebih salah beranggapan berusaha sendiri itu rendah kedudukannya dan berasa malu untuk memulakannya! Selamat berniaga teman-teman.....


1223am, DewanMalaysiaAbbasiah, Cairo.

Monday, June 4, 2012

Selamat Hari Lahir Abah!

 Abah, Emak, Mizaq & Haraz....

HARI ini 4 Jun, Abah yang tersayang ( Esa Bin Abd Rahman ) berulangtahun kelahiran yang ke-60 tahun. Sebuah perjalanan yang sangat panjang yang telah abah tempuhi dan lalui. Juga pelbagai episod suka dan duka telah abah jejaki. Demi tanggungjawab dan amanah membesarkan kami dengan penuh kasih sayang.

Abah..
Lakaran peristiwa dahulu bukanlah 'batu penghalang' untuk membimbing, mendidik dan mentarbiah kami untuk menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Segala-galanya demi keluarga tersayang telah abah buktikan ! Kekayaan harta bukanlah segala-segalanya.Tetapi telah abah semaikan di dalam jiwa dan pemikiran kami agar mencari ilmu seluas-luasnya. Kerana tiada harta yang abah mampu untuk berikan. Kesanggupan abah mengerah segala kudrah, penat dan lelah demi memastikan kami berilmu. Sungguh mulia perjuangan dan pengorbanan abah.

Abah..
Pernah suatu ketika dahulu, lontaran kata-kata mutiaramu langsung tidak pernah kami dengari dan patuhi. Bagi kami itu adalah 'omongan' dan 'bebelan kosong' dari abah. Maafkan kami anak-anakmu abah. Tetapi kini baru kami tersedar dan mengerti, setiap lontaran kata-kata itu penuh 1001 hikmah yang menjadikan kami tika ini. Kami sangat-sangat bersyukur dan hargainya abah! Tidaklah kami akan sedar betapa pentingnya ilmu jika kami terus-terusan tidak mendengar nasihat daripada abah itu, Kami sangat-sangat merindui nasihat abah, setiap kali menghantar kami balik ke asrama.Segalanya sudah menjadi lakaran peristiwa.

Abah..
Segala kudrat telah abah kerahkan tanpa ada rasa resah dan gelisah di dalam merealisasikan impian kami. Apa sahaja kemahuan kami, tetap juga abah mengadakan untuk tidak mengecewakan kami. Kerana bagi abah, anak-anak adalah amanah Allah yang perlu di didik dan di jaga dengan baik. Maafkan kami abah, sebab hanya pandai meminta-minta dan menyusahkan abah. Abah langsung tidak pernah mengeluh dan mengenal erti putus asa. Terima kasih sekali lagi abah.

Abah..
Juga pernah suatu ketika dahulu kami mengecewakan abah dengan kegagalan. Tetapi abah langsung tidak menampakkan wajak kerisauan dan kekecewaan. Tetapi abah masih boleh tersenyum dan terus memberikan kata-kata semangat dan perangsang agar kami tidak terus tersungkur dan berputus asa. Walaupun hakikatnya, jauh di sudut hati abah remuk dan kecewa. Maafkan kami sekali lagi abah. Sejujurnya nilai kasih sayang dan pengorbanan abah itu tidak mampu untuk kami balasi. Tetapi yakinlah!
Kami anak-anakmu akan cuba semampunya untuk mengembirakan dan membahagiakan abah dan emak dunia dan akhirat.InsyAallah.. Kerana itu janji kami pada abah dan emak! Kerana kami hanya mempunyai satu abah iaitu abah dan dan emak. Kami senantiasa sayang dan merindui abah dan emak.

Abah..
Diulangtahun kelahiranmu yang ke-60, tiada hadiah lagi yang mampu anakmukirimkan. Tetapi, anakmu berjanji untuk menghadiakan segulung kejayaan buatmu sedikit masa lagi.InsyaAllah..Kerana itulah bisikan, harapan dan impianmu tika pelukan erat dan ciuman terkahir yang telah engkau berikan sewaktu perpisahan terakhir. Juga lambaian perpisahan yang masih segar di dalam ingatan. Maafkan segala kertelanjuran dan kesilapan yang membuat abah terusik dan terguris hati. Juga terima kasih sekali lagi, kerana membesarkan kami dengan penuh nilai kasih dan sayang tanpa keluh-resah. Segala-galanya demi memastikan kami menjadi anak yang soleh dan solehah juga permata hati emak dan abah di akhirat kelak.

~ Selamat Hari Lahir Abah~
Ya Allah…
Hindarkan ayahku daripada segala kepayahan yang merungsingkan, pemikiran yang membingungkan dan pengalaman yang menyedihkan di sepanjang tahun² yang akan datang ini. Kurniakan kepadanya keselamatan dalam pemeliharaan-Mu yang dapat melindungnya dari sebarang kejahatan, keburukan dan kerunsingan.

Ya Allah,
panjangkan umurnya dalam keimanan, sihatkan tubuh badannya dengan kecemerlangan akal juga berikan dia kesenangan harta benda yang penuh keberkatan.

Ya Allah,
ampunkanlah segala kesalahannya, dan terimalah segala kebaikannya dan Rahmatilah kehidupannya dunia dan akhirat.

Amin Yarabbil-alamin.


0154am, AbdeenHouse, Cairo.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More