Thursday, April 12, 2012

Selamat Hari Lahir Emak.

Selamat Hari Lahir Emak!

13 April merupakan tarikh yang teramat penting untuk di ingati. Ianya merupakan ulang tahun kelahiran emak yang tersayang "Mesnah Binti Paiman". Entah kenapa apabila bercerita tentang emak, hati kecil ini mudah saja terusik. Mungkin itulah naluri seorang anak yang pernah melukakan hati emak. Juga pernah menitiskan air matanya. Tetapi emak tabah dan kuat dalam mengharungi kehidupan ini di dalam membesarkan anak-anak. Tiada keluh-resah mahupun ungkapan jemu dalam mendidik dan membesarkan kami lima beradik. Impian dan harapan emak adalah anak-anak di permudahkan segala urusan duniawi dan ukhrawi. Juga mampu menggembirakan hati mereka di hari mendatang. Di antara kalam-kalam emak yang sentiasa menjadi kekuatan dan semangat dalam mengharungi kehidupan ini adalah " Emak tidak mampu untuk memberi kekayaan harta, tetapi mak sanggup berkorban segalanya demi memastikan anak-anak emak berilmu. Untuk di  gunakan pada masa akan datang. "

Emosi.

Ya. Emak seorang yang kuat dan tabah. Manakan tidak, setiap episod kehidupan yang pasti mengalirkan air mata, emak tidak pernah mengalirkannya. Begitu juga tatkala saya ingin berlepas dari Malaysia ke Egypt, emak masih cool dan mampu menahan air mata. Tetapi yang menitis air mata ketika itu adalah saya. Kerana tidak sanggup untuk berpisah dan menahan kerinduan berbulan-bulan lamanya.  Mungkin itulah pengorbanan emak untuk tidak melihatkan kesedihannya ketika itu. Juga merelakan pemergiaan saya, di atas nama pengorbanan dan perjuangan.

Begitulah pengorbanan emak untuk anak-anak. Biarpun gunung bertukar menjadi emas sekalipun, tidak pernah cukup untuk menandingi pengorbanan emak. Begitu juga, seandainya dunia dan isinya di jadikan tebusan sekalipun, juga tidak pernah cukup untuk membalas ketulusan hati dan nilai kasih emak. Yang sanggup mengharungi kesusahan dan keperitan di dalam memastikan anak-anak membesar seperti manusia kebiasaanya.

Di kesempatan waktu ini, saya ingin mengucapakan selamat ulang tahun kelahiran untuk emak yang sangat-sangat di sayangi dan di cintai. Semoga emak di kurniakan kesihatan yang baik,di panjangkan umur, di murahkan rezeki dan di permudahkan segala urusan dunia dan akhirat. Semoga emak juga cekal dan tabah di dalam mengharungi ujian dan cabaranNya. Doakan agar anak-anak emak menjadi anak yang soleh dan solehah . Yang mampu berjuang untuk agama, bangsa dan negara. insyaAllah..

Selamat Hari Lahir Emak!
 
 












0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More